Kaedah Memilih Pemimpin Yang Layak
Kebiasaannya pemimpin yang rakus, tamak, gila kuasa dan suka berfoya-foya, maka pengikut-pengikutnya sama seperti mereka. Dalam Islam pengangkatan pemimpin yang pertama diukur solatnya. Sewajarnya Rasulullah s.a.w. memilih Abu Bakar menggantikannya sebagai imam solat, maka Abu Bakar jugalah yang menjadi khalifah umat Islam selepas baginda.
Begitu juga dengan perlantikan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang diutus menjadi gabenor seperti Muaz bin Jabal di Yaman, Amr bin Hazm gabenor di Najran, Uttab bin Ussiad gabenor di Makkah dan sebagainya semua mereka ini mendirikan solat dan menjadi panglima perang.
Kaedah pemilihan pemimpin umat Islam ini diwarisi oleh khalifah-khalifah Islam selepas Rasulullah s.a.w. Umpamanya khalifah Umar bin Al Khattab berkata "Sesungguhnya aku mengutus para pegawai-pegawaiku kepada semua adalah untuk mengajar kalian kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. serta menegakkan ajaran agama di antara kamu semua."
Keduanya adalah bersifat adil kepada segenap lapisan masyarakat dan rakyat. Bukan bermaksud pemimpin yang adil kepada kaum keluarga dan sahabat handainya tetapi zalim kepada rakyat bawahan. Seumpama pemimpin bermewah-mewah dengan kekayaan negara, manakala rakyat diajak berjimat-cermat. Segala cukai dibebani di atas bahu rakyat, manakala pemimpin mengumpul harta dengan rakus dan tamak. Justeru itu benarlah apa yang diriwayatkan bahawa sehari dari kehidupan pemimpin yang adil lebih baik daripada ibadat selama enam puluh tahun.
Imam Ahmad pernah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Makhluk yang paling dicintai oleh Allah adalah imam yang adil, dan yang paling dibenci oleh Allah adalah pemimpin yang zalim."
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Ahli syurga itu ada tiga: penguasa yang adil, orang yang bermurah hati kepada setiap kerabat dan orang Islam, orang kaya yang berhati-hati serta ahli sedekah."
Sekiranya sulit untuk memilih pemimpin yang mempunyai kelayakan yang sama, maka hendaklah diadakan sistem undian (pilihan raya). Hal ini telah berlaku kepada diri Saad bin Abi Waqqas untuk dipilih sebagai panglima perang Al Qadisiyyah. Sistem pilihan raya ini dilaksanakan berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
"Seandainya orang-orang mengetahui besarnya pahala orang yang azan dan mereka yang berdiri pada saf pertama dalam solat, kemudian tidak mampu memilih siapa yang layak, kecuali dengan mengundi, nescaya mereka akan melakukan undian."
(Riwayat As-Syaikhan)
Oleh itu sistem pilihan raya melalui corak demokrasi tidak bertentangan dengan kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Namun sistem demokrasi yang wujud di kebanyakan negara umat Islam sering kali disalahgunakan oleh golongan yang berkuasa bagi memenuhi nafsu untuk mengekalkan kuasa mereka. Jika pemimpin diangkat melalui undian, maka terlaksanalah amanah kepimpinan melalui kepercayaan rakyat.

